Aku Musafir Berkelana Mencari Redha Hakiki

chah

Sejak kecil aku sangat suka berjalan-jalan, hatta ke kedai runcit sekali pun sudah sangat menggembirakan aku. Ayah gemar membawa kami sekeluarga melancong apabila tiba musim cuti sekolah, pulang ke kampung halaman serta menziarahi sanak saudara. Dan jauh di sudut hati aku merasakan ayah merupakan individu pertama yang menimbulkan bibit-bibit cinta aku kepada permusafiran.

Akan tetapi dahulu aku tidak pernah faham akan definisi musafir itu sendiri. Yang pasti, perkara pertama muncul di benak setiap kali mendengar kata ‘musafir’ tidak lain dan tidak bukan ialah tentang  rukhsah solat jama’ dan qasar. Ya, memang itu sahaja yang aku tahu. Solat empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat,; solat Zohor boleh dihimpunkan bersama-sama dengan Asar, begitu juga solat Maghrib dan Isya’.

Acap kali saat ayah mengajak kami pergi ke sesuatu tempat, pertanyaan yang seakan wajib keluar dari mulutku ialah, “Jauh tak ayah? Boleh jama’ qasar  tak?” Sepertinya rukhsah itu menjadi suatu keseronokan dan matlamat permusafiranku. Hah.

Menginjak dewasa, aku semakin faham apa yang dimaksudkan dengan musafir. Terdapat transisi makna musafir yang aku peroleh daripada setiap perjalanan seiring waktu berlalu. Menjunjung sunnah Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”, aku ingin berkongsi ilmu yang tidak banyak ini dengan kalian.

PENGERTIAN MUSAFIR

Mungkin sebahagian daripada kita tidak sedar bahawa perkataan ‘musafir ‘ merupakan pinjaman daripada lughah Arabiah, dan kata dasarnya ialah sa-fa-ra.  Dari sudut bahasa membawa maksud perjalanan menempuh sesuatu jarak.

Musafir secara ringkas boleh diertikan sebagai seseorang yang bepergian untuk tujuan tertentu, dengan jarak tertentu dan tempoh tertentu.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘tertentu’?

  1. Seelok- eloknya bertujuan baik dan tidak memudaratkan diri serta agama.
  2. Jarak tertentu yang membolehkan seseorang itu mengqasar dan menjama’kan solatnya ialah dua marhalah. Mengikut  ‘urf atau kebiasaan masyarakat kita, tidaklah perjalanan itu dianggap musafir jika jarak perjalanan tidak sampai dan melebihi 80km.
  3. Tempoh tertentu ialah apabila kita berencana untuk melawat sesuatu tempat itu lebih daripada tiga hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan pulang.

Jika lebih daripada tiga hari?

Maka kita akan dikenali sebagai muqimin (orang-orang yang bermukim)

Contoh paling mudah ialah para pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara; seperti kebanyakan daripada kita. Muqimin tidak mendapat kelebihan sebagai seorang musafir, tidak juga sebagai seorang mustawthin (penetap). Malah dalam solat jumaat juga, muqimin tidak mendapat hak untuk menyempurnakan bilangan jemaah.Tetapi hukumnya, solat tetap wajib dikerjakan.

ADAB -ADAB MUSAFIR

Sebenarnya pertama kali aku mendengarkan hal ini adalah daripada rancangan ‘30 Minit Bersama Ustaz Don’, sebuah rancangan yang berjaya menimbulkan kesedaran jauh di sudut hatiku, kerana selama aku hidup dan bermusafir, tidak pernah sekali aku terfikir tentang adab, hanya ingin berseronok.

Kenapa perlu ada adab?

Rasulullah s.a.w. bersabda, di dalam hadis yang didatangkan oleh Imam As Suyuti,

‘Allah mengajarkanku adab,dan aku adalah orang yang sebaik baik adab’. (Hadis Sohih)

Jika ingin disenaraikan satu persatu memang banyak adab yang telah disusun oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab beliau, Ihya’ Ulumuddin.

Aku hanya ingin senaraikan sedikit, untuk sama-sama kita amalkan. Sesungguhnya sebaik-baik ilmu ialah yang kita amalkan, dan lebih indah lagi jika disampaikan.

1. Niat mencari keredhaan Allah.
  • Tujuan perjalanan yang baik disertakan dengan perbuatan yang mengundang redha Allah. Berpakaian menutup aurat dan tidak meninggalkan kewajipan solat sepanjang permusafiran
2. Solat sunat musafir sebelum meninggalkan rumah.
  • Berniatkan, ‘Sahaja aku solat sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala’
  • Berdoa dipermudahkan urusan sepanjang perjalanan.

“Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik dari 2 rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir”

(Hadis diriwayatkan oleh Tabrani)

3. Disarankan memulakan perjalanan pada hari Khamis.

“Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.”

(Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

  • Rasulullah s.a.w juga gemarkan hari Isnin yang merupakan hari Rasulullah s.a.w keluar berhijrah.
  • Kita mampu merancang perjalanan kita, maka rancanglah sebaiknya-baiknya ;mengikut sunnah baginda Rasulullah s.a.w.
 4. Bermusafir dengan teman, dan sunnah melantik ketua jika bermusafir di dalam kelompok yang ramai.

“Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

5. Berdoa sebelum dan semasa perjalanan, serta memohon maaf daripada ibu bapa dan sahabat handai.
  • Doa orang yang bermusafir antara doa yang mustajab.
 6. Bawa buah tangan untuk keluarga mengikut kemampuan.
  • Kita disunatkan berkongsi kegembiraan bersama-sama ahli keluarga serta sebagai tanda ingatan kita terhadap mereka.

Sebenarnya masih banyak adab yang tidak aku penuhi, justeru aku  ingin menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. sepanjang permusafiran serta  saling megingatkan antara satu sama lain.

Semoga bermanfaat.

 

Rujukan : [ http://syehhakediri.blogspot.in/2013/04/normal-0-false-false-false-en-us-x-none.html]

 

Wan Noraisyah Wan Ramli

Tahun 3, Yenepoya Dental College, Mangalore

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India