Aku, Harapan Mak Ayah dan Usrah

image

 

“Nazihah! Nazihah!”

.
Kuat jeritan itu memenuhi ruang legar menunggu lapangan terbang. Belum sempat aku yang terpinga-pinga menoleh mencari sumber jeritan itu, seorang perempuan muda melambai-lambai dalam himpitan manusia sambil cuba mendekati aku.

.
Masakan aku tidak terkejut. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi asing, jauh meninggalkan keluarga dan kenalan, masakan ada seseorang mengenali aku disini, di India! Cuba bayangkan.

.
Sudah lebih 4 tahun peristiwa itu berlalu. Namun, ‘kesegaran’ jeritan itu dalam benak fikiranku ibarat ia baru sahaja berlaku semalam. Itulah jeritan seorang ukhti yang setelah itu aku kenali sebagai Kak J.

.
Meniti kehidupan tahun pertama aku dalam bidang perubatan, ia merupakan tahun yang penuh dengan semangat. Semangat nak fokus belajar, semangat nak kejar ‘distinction’, dan semangat nak terus banggakan mak dan ayah dengan keputusan yang cemerlang. Di celahan semangat-semangat itu, hadir si ‘dia’ yang begitu asing. ‘Dia’ yang menjadi ‘turning point’ dalam kehidupanku.

.
‘Dia’ itulah USRAH.

.
Mulanya, aku benarkan usrah berada di dalam selitan kamus kehidupan aku sebagai pelajar perubatan. Sekadar selingan tidak lebih daripada itu. Kesian usrah, menjadi mangsa kekejaman aku ketika itu. Walaupun sibuk, aku tidak pernah mencari alasan untuk tidak hadir ke usrah kerana pada aku itulah satu-satunya caranya aku memperoleh kefahaman dalam agama SECARA KONSISTEN. Sesibuk mana pun aku, di kala melihat akak murabbi yang juga pelajar medik bersusah untuk menyediakan pengisian untukku dan rakan-rakan memberi aku kekuatan untuk terus bersama-sama dengan tarbiyyah ini. Prinsip aku, apabila ada yang lain boleh melakukannya, takkan aku tidak boleh?

.
Ada yang berkata,

.
“Alah. Kau tengok jela video ustaz-ustazah dalam youtube tu. Kan dapat juga belajar agama.”

.
Benar, kita akan dapat. Tapi istiqamah atau tidak? Ada ‘follow up’nya atau tak?

.
Dengan adanya komitmen perjumpaan liqa’ setiap minggu, ia membantu aku menguruskan masa dengan lebih baik. Membuatkan aku berkorban banyak perkara yang tidak penting dalam hidupku.

.

Contohnya, keluar membeli-belah, menonton wayang, keluar makan berjam-jam lamanya. Lagi pula, bila difikirkan hanya 2 jam daripada 168 jam diperuntukkan setiap kali usrah. Ini bermakna, hanya 1.19% sahaja masa aku digunakan dalam seminggu untuk ke usrah! Masakan aku memberi alasan lagi. Sedangkan scroll facebook sekali pun boleh sampai sejam.

“Wahai orang- orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”

(Muhammad:7)

.
Ayat ini adalah antara ratusan ayat cinta yang telah mengubah kisah perjalanan hidupku. Mulanya dengan hadirnya aku ke usrah, aku kira aku telah menolong agama Allah tetapi aku menyedari sebenarnya, tarbiyyah agama inilah yang telah menolong aku! Aku yang dahulunya jahil, kepenatan dan keletihan dengan matlamat-matlamat duniawi yang tiada penghujungnya perlahan-lahan juga mengalihkan kiblat matlamat aku ke satu arah. Akhirat!

.
Yang pastinya, aku tidak membenarkan diri aku dipenjara dan dikawal oleh buku teks dan mata pelajaran semata-mata. Aku ingin kejar segala-galanya selagi aku masih muda, tajam penglihatan, sihat tubuh badan, otak cerdas dan tenaga yang banyak. Bukan sahaja mengejar ‘distinction’ dalam pelajaran, malahan mengejar ‘distinction’ dalam segenap lapangan hidup yang lain. Bukankah lebih bijak dan osem?

Sepertinya, sambil meyelam minum air.

.
Usrah, dakwah dan tarbiyyah mengizinkan aku untuk pergi lebih jauh lagi. Bukan lagi hidup untuk diri sendiri, malahan hidup berjiwa besar, hidup untuk bermanfaat untuk umat. Bak kata idola aku, Sayd Qutb :

“Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri, ia akan hidup kecil dan mati sebagai orang kecil. Sedangkan orang yang hidup untuk umatnya, ia akan hidup mulia dan besar, serta tidak akan pernah mati kebaikannya.”

.
Alhamdulillah, kini aku semakin bahagia. Kebahagian yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sehinggakan adakalanya aku menyesal kerana tidak dipertemukan dengan nikmat tarbiyyah ini ketika di alam persekolah lagi. Namun, cepat atau lambat pasti ada hikmahnya. Yang penting kini, aku mahu jadi pelari memegang risalah Allah ini. Nikmat tarbiyyah dan dakwah ini tidak akan aku lepaskan sampai bila-bila pun. Di atas jalan ini, aku berdiri dan menyedari bahawa, jalan yang sama inilah, yang para Anbiya’ lalui menuju SyurgaNya.

.

Masakan aku berpatah semula ke belakang sedangkan syurga menanti di akhir jalan ini?

.

Kecemerlangan yang hakiki, apabila kita boleh membawa seramainya menuju syurga termasuklah berpimpin tangan membawa mak ayah ke syurga. Inilah kemenangan yang sebenarnya. Kemenangan dan kecemerlangan di dunia akan menyusul bersama.

.
Kepada adik-adik yang akan bakal menerima sentuhan tarbiyyah atau baru sahaja disapa nikmat ini, yakinlah bahawa dengan tarbiyyah sahaja dapat mengubah dan mengembangkan potensi diri adik-adik. Bukan buku medik kita. Medik hanyalah alat untuk membawa kita kepada matlamat. Benarkan diri adik-adik untuk ditarbiyyah, dan adik-adik akan belajar mengenal erti kecemerlangan sebenar didalam hidup ini.

.
Hiduplah dengan penuh erti.

 

Wallahu’alam.

.

Coretan,
Nazihah binti Zulkarnain

Penulis merupakan perlajar tahun akhir di International Medical School-MSU, Bangalore dan merupakan Timbalan Exco Biro Penerangan ISMA India 15/16. Bergiat aktif dalam dakwah dan tarbiyah sepanjang berada di India, insyaAllah akan meneruskan amal di Malaysia setelah pulang berkhidmat. Penulis yang biasa-biasa sahaja dengan matlamat hidup yang luar biasa.