4 Golongan: Diagnosis Personaliti

5357474282_3a963095c1_b

Segala puji bagi Allah atas nikmat dan kurniaan yg kita kecapi pada hari ini. Islam yang ada pada diri kita hari ini adalah atas kehendak Allah yang disampaikan melalui usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW , para sahabat dan  seluruh pendakwah yg telah diberi kefahaman Islam yang menyeluruh lantas menggerakkan hati dan jasad untuk berkorban keringat , harta dan nyawa demi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

 

Golongan-golongan Di Jalan Dakwah

Seperti yang disebutkan oleh Imam As-syahid Hassan Al-Banna , apabila seorang manusia itu diperkenalkan dengan dakwah, terdapat 4 jenis kategori yg dapat kita lihat berdasarkan reaksinya.

 

  1. ORANG YANG YAKIN

Golongan ini tertarik dengan prinsip-prinsip dakwah Islam dan percaya dengan seruan dakwah justeru melahirkan rasa yakin dalam diri yang akhirnya melahirkan seorang individu berjiwa pejuang yang terlihat oleh masyarakat melalui akhlak terpuji dan pengorbanannya demi menyebarkan dakwah. Merekalah golongan yang menyambung rantaian dakwah yang tidak pernah putus sejak penciptaan manusia sehingga hari ini. Mereka akan memperoleh ganjaran yang begitu besar di sisi Allah kelak.

 

  1. ORANG YANG SANGSI

Golongan ini belum memahami kebenaran atau tidak meyakini betapa pentingnya dakwah yang disampaikan. Merekalah golongan orang yang tidak berpendirian dan sangsi. Mereka akan dibiarkan bersama kesangsiannya namun dinasihatkan agar terus berhubung dengan dakwah melalui pembacaan tulisan-tulisan ataupun melalui aktiviti ziarah. Dengan izin Allah , selepas itu mereka akan lebih yakin dengan dakwah.

 

  1. ORANG YANG BERKEPENTINGAN

Golongan ini tidak berminat untuk menghulurkan sebarang bantuan selagi mana mereka tidak mengetahui tentang keuntungan duniawi yang bakal diterima hasil pengorbanan mereka. Bagi golongan ini , dikatakan kepada mereka : “Minta maaf, dakwah tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala yg Allah akan berikan sekiranya anda ikhlas dan syurga jika Allah tahu hati budi baik anda.”

Sekiranya Allah izinkan , mereka akan buang sifat tamak daripada hatinya dan menyedari bahawa ganjaran Allah adalah lebih baik dan kekal.

 

  1. ORANG YANG BERPRASANGKA

Orang ini prejudis dengan dakwah dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruk mereka. Mereka ini hanya akan memburuk-burukkan dakwah dan begitu degil dengan salah fahamnya. Kita doakan agar diri kita dan mereka diberikan nikmat untuk melihat kebenaran dan kemudian dikurniakan kekuatan untuk mengikutinya. Kita tetap mengajak mereka kepada dakwah dengan meletakkan Allah sebagai harapan.

 

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Al-Qasas : 56)

 

 

Konklusi

Realiti umat islam yang begitu menyedihkan pada hari ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa disana terdapat satu urgensi agar umat islam kembali menjadikan Islam sebagai cara hidup dan hal itu hanya dapat tercapai sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah Islam kepada segenap masyarakat.

Sudah tiba masanya seorang muslim mengetahui matlamat dan halatuju hidupnya dan kemudiannya beramal sehingga matlamatnya tercapai.

 

Dr Muhammad Harith bin Md Aini

Intern

A.B. Shetty Memorial Institute of Dental Sciences, Mangalore

Aktivis ISMA India