2017: Lembaran Segar Buat Jiwa

College Student Studying in Library

Kita melihat saban hari generasi kini semakin rancak mengikuti trend zaman. Yang sibuk nak jadi jutawan, akan berhempas pulas cari duit siang malam. Yang sibuk nak jadi popular, akan berhempas pulas update segala macam benda di Instagram, Facebook, Snapchat, Twitter dan lain-lain. Yang sibuk bercouple, akan dihabiskan masanya untuk memikirkan untuk membahagiakan si dia, walaupun perempuan itu belum tentu lagi menjadi miliknya. Yang sibuk berjuang bermatian-matian untuk mempertahankan negaranya seperti yang ada Syria dan Palestin, mahupun yang sedang bermatian-matian untuk kekal hidup setelah dibuang negara seperti Rohingya. Begitulah, tak kisahlah apa perkara yang disibukkan. Tapi pokoknya, kita akan disibukkan dengan apa yang menjadi keutamaan dalam hidup kita.

 

Tahun 2016 yang berakhir akan menjadi sejarah atau kisah lama buat kita. Jadi, tahun baru ini kita nak laluinya bagaimana? Nak mencipta kisah hidup yang bagaimana? Ulang macam tahun-tahun lalu atau buat benda yang baru? Buat benda baru yang gila-gila, seronok-seronok saja atau yang memberi manfaat besar dalam hidup? Persoalan-persoalan sebegini perlu ditanya berulang kali, kerana hidup hanya sekali. Peluang  tidak datang berkali-kali. Mati pula tak lama lagi.

 

Sebuah Saranan Buat Kita.

Saya ingin menyarankan satu perkara yang PERLU kita ambil berat untuk dijadikan fokus utama kita pada tahun baru ini. Perkara ini ialah ILMU. Mungkin agar klise, terlalu biasa, tetapi perkara inilah yang rata-rata dikalangan kita tidak serius dan pandang enteng. Mana tidaknya, ada yang rasa ilmu hanya didalam kelas, dalam majlis ilmu di masjid, mahupun di surau. Tetapi yang ingin saya tekankan adalah ilmu yang membuatkan hidup kita lebih bernilai. Nilai yang bagaimana? Nilai yang dipandang mulia oleh penduduk langit, yang mengangkat kita lebih mulia dan bertakwa, yang tidak menjadikan kita kelihatan seperti kanak-kanak lupa dunia apabila dapat mainan, yang mendorong kita menjadi kelompok yang bermanfaat kepada manusia sekelilingnya serta yang memimpin dirinya dekat kepada Allah, jauh dari maksiat, makin kuat beramal.

 

Jadi, carilah murabbi, pendidik, pembimbing yang kita percaya. Inilah cara untuk memastikan ilmu yang kita dapat itu mampu menjadikan hidup kita bernilai. Jangan dicari orang atau sahabat untuk berseronok semata, juga yang tidak menegur, mengetuk kita apabila kita buat silap. Sultan Muhammad al-Fateh menjadi hebat kerana adanya Syeikh Syamsuddin, murabbi kepada baginda. Para sahabat Rasulullah yang membuka luas tanah Islam di serata dunia kerana adanya Rasulullah sebagai murabbi mereka.  Ini sangat penting sebagai tanda kita bersedia untuk ditarbiah mengikut acuan yang benar, bukannya semberono, ikut kepala sendiri. Baca dan terus percaya apa yang keluar news feed Facebook dan bergantung pada Google semata-mata. Kita kena ingat, nak jadi hebat tak mampu sendirian, perlu bersama dengan jemaah dan adanya murabbi.

 

Tahun Baru, Buku Baru.

 Mulakan tahun baru ini dengan meletakkan azam baru. Azam yang digerakkan dan dipimpin oleh ilmu. Yang lebih segar dan bermakna. Fokus tingkatkan ilmu. Bukan sembang kencang tak habis-habis di Facebook mahupun sambil lepak di kedai mamak dan hipster, yang melahirkan kita seperti pak turut, ikut apa orang kata, kejar apa orang pandang, seronok dengan dunia sendiri.

 

Akhir kata, saya akhiri warkah ini dengan kalam tuhan dalam surah al-Alaq ayat 1-5:

“ Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptkan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku dari darah beku. Bacalah dari Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

 

 

Dr Mior Zainul Arif bin Zamzuri

Intern

Manipal College of Dental Sciences, Mangalore

Pengerusi ISMA India sesi 2016/17