Terasa diri sendirian dan perlukan teman setia di sisi?

Mula mengimpikan suri hati yang akan mendampingi hingga ke syurga?

Terkena demam, mandi tak basah makan tak kenyang dek memikirkan si dia?

Alhamdulillah, sudah dewasa rupanya kita ni kan?

Ikhwah akhawat yang dikasihi sekalian, membina rumah tangga atau baitul muslim bukanlah semudah membina istana pasir di tepi pantai, namun tidaklah terlalu sukar sekiranya kena pada caranya. Ramai yang mahu berkahwin tetapi tidak mempunyai keberanian untuk memikul tanggugjawab, mereka kemudiannya lebih rela menjerumuskan diri ke dalam fenomena couple, kawan tapi mesra dan sebagainya. Berjanji setia, rindu-rinduan, rajuk dan pujuk menjadi kebiasaan kelompok ini. Bermula dengan ‘takut-takut’ dan ‘segan-segan’, dengan dorongan nafsu yang kononnya rindu dan kasih menyebabkan mereka kemudiannya mula berani  untuk cuba-cuba keluar bersama seterusnya ramai juga yang mendedahkan diri kepada perlakuan zina. Nauzubillah.

Rumah tangga yang dibina pastinya diharapkan agar mampu bertahan hingga ke akhir hayat bukan ? Saya tidak pasti pula sekiranya ada pasangan bercinta yang hanya mahukan perkahwinan mereka cukup sekadar bertahan 3-4 tahun sahaja. Di waktu percintaan, gunung sanggup didaki bahkan lautan api pun sanggup direnangi, masakan mereka terfikir untuk berpisah di tengah perkahwinan ? Jika inginkan perhubungan yang kekal, mari kita selidik sedikit fakta tentang cinta.

Kegilaan cinta

Cinta merupakan perasaan atau pengalaman yang mampu menguasai seseorang. Cinta menyebabkan seseorang itu berfikir dan bertindak diluar kebiasaannya. Perhatikan beberapa perkara dibawah yang dilalui pasangan bercinta :

(Watak Ali dan Siti adalah watak yang direka)

-          Pada awalnya, Ali menyukai Siti dalam diam , menyebabkan Ali memberikan perhatian yang tidak disengajakan kepada Siti

-          Perasaan ini menjadi semakin kuat apabila Siti memberikan reaksi balas

-          Mereka mula tertarik antara satu sama lain di mana Ali mula menginginkan perhatian lebih dari Siti, begitu juga Siti

-          Lama-kelamaan muncul perasaan obsess terhadap pasangan tersebut : Ali tidak berhenti memikirkan Siti  walaupun cuba untuk menjauhkan ingatan darinya

-          Malah Ali  tidak mampu untuk mengelak dari mengelamun dan berfantasi untuk bersama Siti

-          Perasaan ini menjadikan Ali ‘euphoria’  (a sense of well being) iaitu perasaan yang menjadikan Ali seakan-akan berada di awangan, berasa gembira, bahagia dan bersemangat dengan kehadiran Siti

-          Perasaan cinta yang menggunung ini kadang-kadang menjadikan Ali sakit dada apabila memikirkan cintanya pada Siti

-          Ali menidakkan kekurangan dan kesalahan Siti. Ali sering menyebelahinya dan cuba menutup kesalahannya di luar alasan logik pemikiran

Inilah cinta. Apabila dilamun cinta, hidup ini hanya bermakna untuk mereka berdua. Namun, apakah yang mendorong kita bersikap sedemikian?

Cinta dan fungsi Otak

Kajian telah dibuat tentang perubahan dalam otak ketika seseorang dilamun cinta.

Terdapat  2 bahan kimia yang dikatakan terlibat, iaitu dopamine dan serotonin. Dopamine adalah bahan kimia yang menyebabkan kita berasa bahagia (feel good). Bahan ini banyak dirembeskan otak ketika dilamun cinta. Inilah bahan yang menyebabkan kita berasa euphoria. Bahan ini juga menyebabkan kita berasa kurang kemahuan untuk tidur, kurang selera makan namun bertenaga. Malah, Dopamine juga berfungsi membolehkan kita untuk mengawal pemikiran serta memberi fokus dan perhatian, tidak hairanlah, pasangan bercinta terlalu memberikan perhatian kepada pasangannya.  Sebaliknya kandungan dopamine yang terlalu tinggi mampu menyebabkan seseorang itu berasa serba tidak kena, tidak cukup rehat dan emosi berkecamuk. Dua keadaan berbeza ini sering berlaku bercampur baur dikala bercinta. Ini menjelaskan mengapa, seseorang yang dilamun cinta akan mendapati dirinya kadang-kadang cinta dan kadang-kadang benci terhadap pasangannya.

Apakah pula fungsi serotonin? Kajian mendapati otak akan merembeskan serotonin yang sedikit dikala bercinta. Kurangnya serotonin menyebabkan seseorang itu bersikap kemaruk (obsess). Inilah yang menyebabkan pasangan bercinta itu terlalu obsess terhadap pasangannya.

Namun perlu diingatkan wahai ikhwah akhawat sekalian bahawa dopamine tidak akan sentiasa dirembeskan dengan banyaknya oleh otak manakala serotonin tidak akan selamanya dirembeskan sedikit. Kajian mendapati bahawa otak hanya mampu bertahan selama 2 tahun atau 3 tahun secara maksimumnya untuk  keadaan ini. Ini bermakna, perasaan sayang dan cinta yang mendalam ini hanya akan dialami selama maksimum 3 tahun sahaja.  Ini terbukti dengan ramainya pasangan bercinta yang berpisah apabila hubungan menjangkau usia 3 tahun malah mungkin kurang dari tempoh itu. Malah menjelaskan kepada kita mengapakah pasangan yang berkahwin di atas dasar cinta kebanyakannya berakhir dengan perceraian atau status perkahwinan yang tidak harmoni.

Cinta pada masanya

Fakta ini mungkin mampu membawa kita berfikir tentang dalam keadaan apakah perjalanan perkahwinan kita nanti, dalam suasana dipenuhi cinta yang barakah atau suasana dingin yang menyeksakan?

Sedarlah wahai ikhwah dan akhwat sekalian, sekiranya umur Rasulullah itu diambil untuk purata hidup manusia, bermakna bahawa kita mungkin mampu hidup selama 60 tahun secara totalnya. Kita hanya hidup selama 20 tahun bersama ibu bapa yang menyayangi kita seluruh jiwa raga mereka, baki yang lainnya iaitu 40 tahun lagi akan kita habiskan bersama pasangan hidup. Sekiranya kalian tersalah langkah dalam memilih pasangan hidup dek kerana salah memilih cara yang paling baik untuk berkahwin, dikhuatiri bahawa hidup berumah tangga kalian akan goyah dan sengsara.

Islam itu indah bagi mereka yang mahu menurutinya. Malah Islam juga menjanjikan jaminan dari Allah akan letak duduknya bahagia dalam rumah tangga muslim atau baitul muslim yang dibina. Islam telah menggariskan bahawa, cinta perlu hidup hanya selepas berkahwin. Nah, jika benar ada yang sudah menaruh hati pada si gadis atau teruna, sulamlah cinta kalian dengan tiket akad yang dilafazkan di hadapan wali. Sudah pastinya cinta ini akan didoakan bukan sahaja di kalangan manusia bahkan oleh malaikat dan makhluk sekaliannya. Amin.

 

 

Disediakan oleh,

Siti Nur Syamimi

Ketua Wanita ISMA India

 

Facebook Comments

0 Comments

You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment

 




 

 
 
WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann