12 March 2024

Gempar. Satu pejabat kecoh apabila mengetahui perkara tersebut. Memang tidak disangka-sangka seorang yang mereka percayai, yang selalu mengimami solat zohor dan asar di pejabat,yang sering mengajak rakan sepejabatnya ke program-program kebajikan dan keagamaan ditangkap kerana kes pecah amanah. Satu persatu suara sumbang berbunyi.

“Dia tu,harap je alim. Tapi lagi teruk dari kita.” Ujar Syamsul, seorang kerani di pejabat itu. Namun,masih ade juga dalam kalangan mereka yang mempertahankannya. “Mungkin ada orang yang iri terhadapnya. Ini mesti kerja mereka,” ujar Kamal, Penolong Ketua Bahagian Sumber Manusia . Suasana di pejabat ketika itu sangatlah kecoh. Kerja masing-masing tergendala lantaran memikirkan berita kes pecah amanah yang dilakukan oleh salah seorang rakan sepejabat mereka.

6 Bulan sebelumnya.

“Assalamualaikum warahmatullah, assalamualaikum warahmatullah”. Usman menamatkan solat subuh berjemaahnya bersama-sama isterinya, Solehah dan anak lelaki tunggal mereka, Iqbal Hassan. Begitulah rutin keluarganya setiap hari. Tepat pada pukul 4.30 pagi, Usman akan bangun. Kemudian dia akan mengejutkan isteri dan anaknya untuk sama-sama berqiam dan menunaikan solat subuh bersama. Terngiang-ngiang di fikirannya akan pesanan Naqibnya di dalam usrah mingguan yang disertainya.

“Tanggungjawab kamu sebagai seorang suami dan bapa, bukan setakat memberi nafkah zahir dan batin. Kamu bertanggungjawab untuk membawa keluarga kamu bersama-sama dengan kamu masuk ke dalam syurga.”

Amanat naqibnya itu sentiasa bermain-main di benak fikirannya. “InsyaAllah, aku akan membawa keluargaku masuk ke syurga bersama aku.” Tekad Usman.

Sabda Rasulullah S.A.W,

“Setiap kamu adalah ketua dan setiap kamu bertanggungjawab di atas jagaannya. Lelaki (suami) adalah ketua di atas anggota keluarga rumahnya dan dia adalah bertanggungjawab di atas jagaannya itu. Perempuan (isteri) bertanggungjawab menjaga rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Bukankah setiap kamu itu ketua dan setiap kamu adalah bertanggungjawab ke atas jagaannya.”

“Iqbal, jom sarapan nak. Abah dan Ummi tengah tunggu Iqbal ni nak sarapan sama-sama”. Solehah memanggil anaknya dari bawah.

“Baik ummi. Iqbal turun sekarang… Sadaqallah hul azim”.

Iqbal menamatkan bacaan al-qurannya. Memang menjadi rutin hariannya untuk membaca dua muka surat al-quran sebelum pergi ke sekolah. Abahnya berpesan bahawa membaca al-quran di pagi hari dapat membantu melancarkan perjalanan darah ke otak. Otak akan menerima bekalan Oksigen yang cukup yang dapat membantu  melakukan pekerjaan harian kita dengan lebih fokus di samping mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. Dengan pantas, Iqbal mencapai beg sekolahnya dan terus segera menuju ke dapur rumah teres dua tingkat mereka.

“Assalamualaikum abah, assalamualaikum ummi. Selamat pagi.”

Ucap Iqbal kepada abah dan uminya.

“Waalaikumussalam Iqbal. Selamat pagi juga saying.”

Balas Usman. Dirinya merasa bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan anak dan isteri yang soleh dan solehah.

“Nak, makan ye. Kalau tak sedap, umi minta maaf ye”.

Seloroh Solehah kepada anaknya.

“Ape la ummi ni. Ummi masak tak pernah tak sedap. Kalau tak sedap pon Iqbal makan jugak sebab Iqbal kan sayang umi. Umi lah the best chef in the world. Kalah masterchef Malaysia, Dr. Ezani tu.”

Luah Iqbal kepada uminya. Manja. Usman mencuit pipi anaknya.

“Pandai ye anak abah ni ambil hati umi.”

“Tengok la sape abahnye. Bak kata pepatah melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.” Usik Solehah.

Mereka sekeluarga ketawa. Begitulah suasana keluarga Usman. Sentiasa ceria. Lebih-lebih lagi sejak kehadiran Iqbal 9 tahun yang lepas. Selepas bersarapan , Usman akan menghantar isteri dan anaknya ke sekolah. Isterinya bertugas sebagai guru mata pelajaran sains di Sekolah Kebangsaan Taman Permata dan Iqbal, pelajar tahun 3 di sekolah yang sama.

“Selamat bekerja ye sayang. Ingat setiap pekerjaan hendaklah diniatkan kerana Allah. InsyaAllah dipermudahkan segala urusan kita.” Terang Usman kepada isterinya.

“Baik abang, saya kan sentiasa ingat pesanan abang itu.” Jawab Solehah lantas mencium tangan kanan suaminya itu.

“Jangan nakal-nakal ye Iqbal. Ingat, Iqbal belajar kat sekolah ni kerana…”

“Allah!”.

Pantas anaknya itu mencelah.

“Bagus. Macam ni la anak abah.” Iqbal pon segera bersalam dengan abahnya dan Usman mencium dahi anak kesayangannya itu.

“Abang pergi dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Usman kepada isteri dan anaknya.

Selepas menghantar isteri dan anaknya, Usman akan terus menuju ke pejabatnya yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Usman bin Malik. 34 tahun. Bekerja di syarikat Hijau Nusantara sebagai ketua di jabatan kewangan syarikat tersebut. Syarikat yang berteraskan pembinaan dan reka bentuk tersebut dimiliki dan diasaskan oleh seorang jutawan ternama di Malaysia, Dato’ Muhaimin Murad.  Usman telah berkhidmat di syarikat tersebut selamat sepuluh tahun. Sekarang adalah tahun yang kesebelas dia bersama dengan syarikat ini, dan Usman adalah seorang pekerja yang sangat disayangi dan dipercayai oleh majikannya kerana kecekapan dan sifat amanahnya dalam menguruskan kewangan syarikat tersebut. Syarikat yang dahulunya hanya  menumpang di  sebuah bangunan kedai 4 tingkat di Jalan Raja Chulan kini sudah mampu memiliki bangunan pejabatnya sendiri yang terletak di Jalan Tun Razak. Dahulu hanya mempunyai 10 orang kakitangan kini sudah mampu menggaji 150 orang staf yang bekerja di pelbagai bahagian. Usman yang ketika itu baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang kewangan di Management and Science University, Shah Alam ditawarkan untuk bekerja di syarikat itu di tahun ke 5 penubuhannya. Oleh kerana kecekapan dan prestasi kerja yang cemerlang Usman, tidak sampai 2 tahun bekerja dia sudah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Kewangan syarikat.

“Assalamualaikum Kamal. Apa khabar?”.

Sapa Usman kepada Kamal, Penolong Ketua di  Bahagian Sumber Manusia. Juga merupakan sahabat baiknya sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER)  17 tahun dahulu.

“Waalaikumussalam Usman. Khabar baik. Awal kau sampai hari ni.”  Kamal berseloroh.

Usman menoleh kearah jam dinding casio yang terletak di penjuru sebelah tenggara pejabatnya. Jam baru menunjukkan  pukul 8.30 pagi.

“Menepati waktu kan merupakan salah satu ciri umat Islam yang cemerlang. Kau dah lupa ke pesanan naqib kita, mengenai salah satu ciri daripada 10 muwasafat tarbiyah , haarithun ala waqtihi. Aku tak nak menjadi manusia yang rugi. Sebab tu la aku sampai awal. Supaya aku dapat bersedia dan bersemangat untuk memulakan kerja pada hari ini.” Jelas Usman.

“Aku ingat la Usman. Sebab tu aku pon sampai awal juga. Lagi awal daripada kau”.

Ruang pejabat itu riuh rendah dengan ketawa mereka. Keadaan di pejabat ketika itu masih lagi lengang kerana rata-rata rakan sekerja mereka akan sampai dalam pukul 9 pagi. Manakala Dato’ Muhaimin pula akan sampai kebiasaannya tepat pada pukul 8.50 pagi. Setiap hari, Usman dan Kamal lah yang selalu sampai awal ke pejabat.

“Kamal, kau jangan lupa usrah kita malam esok.” Tegas Usman kepada Kamal.

“Aku ingat la. Aku dah set reminder dalam Ipad  13s aku ni. Cuba kau tengok.”

Kamal menunjukkan Ipad 13s yang baru dibelinya kepada Usman.

“Amboi, banyak ye duit kau. Boleh la belanja aku makan tengahari nanti.”

“Biasa la. Orang bujang. Ada la duit sikit.” Kamal berseloroh.

Kamal masih lagi belum menamatkan zaman bujangnya.

“Tu la kau. Memilih sangat. Kan naqib kita dah banyak kali cuba mencari pasangan untuk kau. Tapi kau yang tak nak.” Perli Usman.

“Aku bukannya memilih Usman. Aku cuma rasa diri aku ni tak bersedia lagi untuk berkahwin. Aku takut aku tak dapat menjalankan tanggungjawab aku nanti sepenuhnya.” Jelas Kamal.

“Jangan risau la Kamal. Selagi ada aku dan juga geng-geng usrah kita yang lain, kami akan sentiasa membantu kau.” Jawab Usman.

“Uhibbuka fillah Usman.” Ucap Kamal kepada Usman.

**********************************************************************************************************************

“Bang, saya minta maaf. Saya tak sengaja. Jangan pukul saya.” Rayu Zaidi, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) itu.

Namun rayuan pelajar tersebut tidak dilayannya. Tanpa belas kasihan dia membelasah Zaidi bertubi-tubi. Ternampak kesan darah di bibir pelajar tersebut. Tidak nampak langsung rasa belas kasihannya.

“Chong, sudah lah tu. Kang mampos pulak budak ni.” Tegur rakannya, Apai.

“Ah, biar mampos budak ni. Sakit hati aku tengok dia ni. Ada ke patut dia report kat cikgu Shahrul . Habis kantoi segala operasi kita selama ni.” Jerit Chong.

“Bukan saya yang report bang, bukan saya. Saya tak tahu menahu pasal perkara ni.” Rayu Zaidi sekali lagi.

Rayuannya tidak diendahkan, bahkan pukulan yang diterimanya semakin dahsyat. Dunia ini terasa gelap baginya.

**********************************************************************************************************************

“Usman, bangun. Dah pukul satu ni. Jom kita lunch. Pastu boleh kita solat Zohor berjemaah. Hari ni biar aku jadi imam.” Kamal mengejutkan Usman.

“Astaghfirullah hal azim. Tak pernah pulak aku tidur waktu-waktu begini. Tiba-tiba hari ni pula tertidur.” Rungut Usman.

Usman menoleh jam tangan berjenama Tag Heuer pemberian isterinya semasa hari lahirnya yang ke 30. Tepat pukul 1 tengahari. Dia memandang sekeliling. Kelihatan semua pekerja di pejabat jabatan kewangan sedang sibuk bersiap untuk menikmati makanan tengahari. Jabatan Kewangan syarikat tersebut mempunyai 15 orang pekerja. 9 orang pekerja lelaki dan 6 orang pekerja wanita. Diwajibkan semua pekerjanya untuk sama-sama solat berjemaah di surau bangunan tersebut yang terletak di tingkat 23. Semua pekerjanya tidak ada masalah untuk memenuhi arahan tersebut walaupun pada awalnya terdapat beberapa pekerja yang agak liat untuk solat secara berjemaah. Namun selepas Usman menerangkan kepada mereka maslahat solat secara berjemaah dan dia sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada pekerjanya, akhirnya pekerjanya faham dan taat terhadap perintah Allah tersebut.

Hadis riwayat al bukhari dan muslim, “Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).”

“Encik Usman, Dato’ Muhaimin memanggil Encik Usman segera di pejabatnya segera.” Syarifah, setiausaha Dato’ Muhaimin memanggil Usman.

“Ada apa ye Dato’ memanggil saya secara mengejut? Ada hal mustahak kah?.” Soal Usman.

“Entahla Encik Usman. Saya pon tak tahu. Nampak macam serius.” Jawab Syarifah.

“Baiklah, saya pergi sekarang”.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran Usman.

“Aku ada buat salah pape ke?”

“Tok-tok.”

Usman mengetuk pintu pejabat Dato’ Muhaimin. Terpampang di pintu tersebut plat nama Dato’ Muhaimin.

“Masuk!”

Sahut suara dari dalam bilik pejabat tersebut. Tanpa membuang masa Usman masuk ke dalam bilik tersebut.

“Usman, saya ada perkara penting yang nak dibincangkan dengan awak.” Dato’ Muhaimin bersuara. Serius.

**********************************************************************************************************************

 

 

 

Disediakan oleh,

Abu

Aktivis ISMA India

 

Facebook Comments

0 Comments

You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment

 




 

 
 
WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann