Seringkali apabila ditanya kepada sesiapa jua sahabat muslim di sekeliling tentang apakah tujuan penciptaan manusia, jawapan yang sama pasti laju meluncur dari bibir iaitu manusia diciptakan untuk beribadah hanya kepada Allah. Malah, apabila soalan yang sama ditujukan kepada adik-adik di dalam peperiksaan PMR dan SPM, ia dikira soalan bonus untuk mendapat markah percuma. Malah ketika sesi revisi sebelum menduduki peperiksaan , saya yakin terdapat beberapa pelajar yang lebih mengutamakan tajuk sirah nabawiyah mahupun tajuk fiqh untuk dihadam berbanding tajuk-tajuk sebegini kerana menyangka bahawa soalan seperti ini hanya boleh dijawab berdasarkan kemahiran berfikir. Soalan yang sangat mudah dijawab bukan?
Soalan-soalan berupa tujuan penciptaan manusia, rukun iman dan rukun islam adalah soalan yang biasa dimomokkan kepada kita sejak kecil. Ini menjadikan kita pantas menjawab tanpa perlu berfikir. Namun kita perlu sedar wahai mukminin mukminah sekalian, pengertiannya amat BESAR. Cukup besar untuk menggambarkan hakikat kejadian seluruh alam maya ini yang mana umat manusia telah duduki sejak berkurun lama. Alasan kewujudannya tidak pernah berubah, iaitu supaya segalanya tunduk patuh beribadah semata-mata hanya kepada Allah.
Ianya satu persoalan yang cukup bagus untuk diulang-tanya dengan harapan hati-hati mampu bergetar memikirkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti si Kafir :
”Katakanlah: “”Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?”" Maka mereka akan menjawab : “”Allah”". Maka katakanlah: “”Mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?. (Yunus; 31)
Mereka menjadikan soalan tersebut sebagai perkara remah. Sedikit sekali mereka mengambil pelajaran.
Mari saya bawakan pula satu kisah yang berbeza dari kisah si kafir di atas :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal,” (Al-Anfal; 2).
Inilah bukti iman di dalam hati. Dan inilah yang kita mahukan ! Apabila soalan sebegini diajukan kepada kita, ambil masa sejenak dan fikirkan. Fahami maksud jawapan yang kita tuturkan supaya kita mendapat manfaat darinya. Hati yang terdetik akan kesedaran, pasti mampu mencucurkan air mata apabila menjawabnya. Hati yang bersih pasti faham akan tuntutannya. Kefahaman tentang beribadah hanya kepada Allah bisa menjadikan kita bebas merdeka di alam dunia. Tidak perlu gerakan liberalism yang bercambah bersusah payah melaungkan slogan kebebasan, padahal kita hakikatnya bebas sejak kalimah tauhid kita lafazkan. Tak perlu terhegeh mengejar berdirinya sistem demokrasi untuk kemakmuran negara padahal isu paling asas ini kita lupakan malah kita pandang enteng. Hiduplah semata-mata hanya untuk Allah, pastinya kitalah yang paling berkuasa dan paling merdeka.
Penulisan ini dibuat atas cerminan diri sendiri, hati mula tertanya-tanya tentang dimanakah hilangnya sensitiviti. Inilah yang terjadi pada diri apabila mahu mula menulis, hati tertanya-tanya sama ada isu ini isu yang lapuk atau tidak. Namun, ini yang menjadikan saya tetap menulis. Topik yang sebenarnya mampu menggoncang dunia malah boleh mengheret kita ke tali gantung sekiranya dipersoalkan dan diperjuangkan pada penguasa muslim yang sedikit sekali iman dan islamnya.
Di akhir penulisan, diharapkan agar kita sama-sama mengkoreksi diri. Adakah perkara yang sama terjadi pada kalian apabila mula membaca artikel ini? Jika benar, ulanglah pembacaan kalian dengan hati yang sedar. Persoalan, apakah tujuan penciptaan manusia bukan perkara remah. Malah soalan inilah yang menjadi punca nafas yang kalian hela saat ini.
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Az-zariyat; 56).
Siti Nur Syamimi Bt Mohamad Asaad
Ketua Wanita ISMA India













Facebook Comments
0 Comments
You can be the first one to leave a comment.