Kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 merupakan peristiwa yang mengejutkan seluruh dunia Islam. Suatu peristiwa yang tidak pernah terbayang dibenak fikiran seorang Islam. Suatu peristiwa hitam yang menjadi simbol hilangnya sudah kesatuan hati orang Islam.
Akan tetapi, peristiwa ini tidak terjadi dengan begitu sahaja. Ia berlaku disebabkan kelesuan umat Islam sendiri. Umat Islam sudah hilang jati diri mereka. Al-Quran sudah tidak menjadi panduan dalam kehidupan. As-Sunnah sudah menjadi sesuatu yang asing. Umat Islam sibuk untuk mengejar dunia materialistik. Pemudanya sibuk untuk mencari pemudi-pemudi. Manakala pemudinya sibuk untuk berhias-hias demi menarik perhatian sang pemuda. Akhirnya, semangat dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan Islam itu terbuang begitu sahaja dan membiarkan sahaja musuh mendatangi mereka dengan begitu mudah.
Pada tahun 1928, muncul seorang pemuda yang sedar akan kelemahan dan kelesuan umatnya. Umatnya berpecah-belah. Kerja-kerja Islam yang ada tidak disatukan dibawah satu organisasi yang tersusun. Islam hanya dilihatkan sebagai satu agama untuk amalan diri sendiri semata-mata. Akhirnya, beliau menubuhkan Ikhwanul Muslimin, sebuah organisasi yang memberikan semula harapan kepada umat Islam.
Bagi pemuda tersebut, iaitu Hassan Al-Banna, organisasi yang ditubuhnya hanyalah salah satu daripada organisasi-organisasi Islam yang ada. Begitulah sifat kerendahan hati beliau dalam menjaga hubungan antara pelbagai organisasi yang telah wujud. Disebabkan sistem dan cara kerja yang tersusun, Ikhwanul Muslimin menjadi model organisasi Islam yang terbaik. Sehinggakan banyak organisasi-organisasi Islam yang tertubuh selepasnya akibat terinspirasi daripada Ikhwanul Muslimin. Bahkan, penubuhan organisasi-organisasi Islam boleh dikatakan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Organisasi-organisasi Islam yang saya maksudkan adalah mana-mana organisasi yang ditubuhkan oleh orang Islam dan bertujuan untuk memartabatkan Islam dan orang Islam. Fenomena ini bukanlah satu perpecahan seperti diwar-warkan oleh mereka yang tidak mengkaji sejarah. Bahkan merupakan satu simbol kebangkitan. Kebangkitan daripada kelesuan. Kebangkitan daripada kelalaian. Kebangkitan daripada ketertindasan. Kebangkitan daripada kejahilan.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa fenomena ini juga turut memberi impak negatif kepada Islam. Ada sesetengah organisasi Islam yang ditubuhkan hanya semata-mata diatas semangat sentimen Islam tanpa pengkajian terhadap Al-Quran dan As-Sunnah secara mendalam. Dan akhirnya, pemahaman Islam yang cetek dibawa oleh mereka menambahkan lagi kecelaruan mengenai Islam yang telah ada pada masyarakat.
Oleh sebab dakwah yang ditunjukkan Rasulullah adalah dakwah kasih sayang, jadi perlunya ada proses pertemuan dan perbincangan agenda yang dibawa dalam kalangan organisasi Islam. Dan selain itu, pelbagai organisasi Islam yang ada perlu juga memberi fokus untuk membina hubungan hati di antara satu sama lain. Banyak perkara yang boleh dilakukan, seperti mengadakan sesi dialog, sesi kerjasama dalam perkara yang disepakati dan sebagainya.
Dan saya melihat bahawa persepakatan antara organisasi Islam ini boleh dilakukan tanpa meleburkan organisasi masing-masing. Sesetengah orang yang berfikiran sempit ada mengatakan bahawa kesatuan umat Islam tidak akan tercapai dengan tidak meleburkan organisasi masing-masing. Walhal, sebenarnya mereka mengucapkan perkara ini untuk kepentingan peribadi semata-mata. Sedangkan mereka sendiri tidak sanggup untuk meleburkan organisasi mereka.
Mereka adalah orang yang tidak mengkaji sifat manusia. Manusia dihubungkan dengan sifat kasih sayang dan sentimen yang tinggi. Ini kerana manusia telah diciptakan dengan mempunyai emosi. Kenyataan- kenyataan seperti untuk memaksa orang lain meleburkan organisasi mereka hanyalah akan memburukkan lagi keadaan yang ada. Islam itu rahmat dan hikmah. Jadi, pelajarilah seninya. Oleh itu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kepelbagaian organisasi Islam bukanlah simbol perpecahan, bahkan merupakan satu simbol kebangkitan.
Disediakan oleh,
Zulhilmi Hasif Bin Mahammad Asri
(Ketua Biro Dakwah dan Aktiviti)














Facebook Comments
0 Comments
You can be the first one to leave a comment.