
MANGALORE, INDIA- Pada 3 hingga 4 disember 2011 Isma India cawangan Mangalore telah berjaya menganjurkan Outdoor Iman Camp (OIC) 2011. Program yang dianjurkan buat julung kalinya ini telah diadakan di Summer Sand Beach Resort, Mangalore. Program yang disusun dengan cukup teliti oleh pihak penganjur berjaya menerima penyertaan seramai 105 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dari pelbagai universiti di India.
Bertemakan “Let’s Colour The Future”, program ini menjadi wadah buat para mahasiswa mencorakkan masa depan masing-masing tanpa mengabaikan ruh-ruh Islam yang dipegang. Di samping itu, ia juga menjadi medan mengeratkan ikatan ukhuwah sesama mahasiswa seluruh India.
OIC 2011 yang padat dengan pengisian rohani tidak mengabaikan juga keperluan jasmani yang lain kerana ia adalah intergrasi antara pengisian, aktiviti outdoor dan indoor.
Program bermula dengan slot pengisian oleh Dr.Zulkifli Yusof, Yang Dipertua Isma Kedah merangkap Ahli Jawatankuasa I-Medik. Beliau memulakan dengan slot “Antara Semalam dan Hari Ini”. Beliau menekankan agar barisan pemuda siswa dan siswi mengetahui tentang sejarah kerana ia boleh dijadikan panduan dalam melakar warna-warni kehidupan.
Program diteruskan dengan slot “Ancaman Pemikiran Barat ke Atas Pemuda”. Dr.Zulkifli telah membicarakan tentang isu penting yang perlu diketahui oleh umat Islam khususnya pemuda mengenai ancaman-ancaman yang perlu ditepis oleh golongan pemuda. Ancaman-ancaman ini kebanyakannya datang dalam bentuk serangan pemikiran (Ghuzwatul Fikr) yang boleh mengelirukan pemuda.
Bagi peserta siswi, satu sesi perkongsian ringkas telah diadakan bersama Dr.Norsyarifah Hashim, wakil Pegawai Perubatan Siswazah I-Medik Melaka. Peserta diingatkan agar terus komited dengan program-program dan aktiviti dakwah di samping bersungguh-sungguh dalam mengejar segulung ijazah.
Pada keesokannya, program diteruskan dengan slot “Formula Muslim Super”. Melalui slot ini, Dr. Zulkifli menghuraikan mengenai garis panduan untuk menjadi seorang individu muslim yang bakal mencorakkan masa depan diri dan agama.

Selain itu, pelbagai aktiviti luar turut diadakan seperti “Detektif Ukhuwah” dan “Beach Sweat Challenge” yang berjaya membina semangat kerja berpasukan di samping mengeratkan ukhuwah di kalangan peserta. Para peserta kebanyakannnya berjaya mengambil pengajaran daripada setiap permainan yang disediakan oleh penganjur. Aktiviti “Lailatul Rijal dan Lailatul Nisa” menjadi medan kepada fasilitator mencungkil bakat yang terpendam di kalangan siswa dan siswi.
Pada hari terakhir program, satu forum yang bertajuk “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung” telah menampilkan dua orang panel bagi berkongsi pengalaman masing-masing iaitu Dr. Norsyarifah Hashim dan Dr.Zulkifli Yusof. Forum yang mengupas isu bait muslim ini dipengerusikan oleh Dr.Syamil Salmi selaku moderator.
.jpg)
Program yang berlangsung selama dua hari ini telah mendapat maklum balas yang menggalakkan dari semua peserta. OIC 2011 menutup tirai dengan warna-warni kenangan manis yang menjadi penguat ikatan ukhuwah. Semoga OIC 2011 ini dapat menjadi platform kepada peserta untuk terus mencorakkan masa depan dengan warna-warna yang lebih indah.
Disediakan oleh,
Biro Dakwah dan Aktiviti ISMA India











Facebook Comments
0 Comments
You can be the first one to leave a comment.