Mari saya perkenalkan kalian dengan satu perkataan yang mungkin baru didengar di kalangan kita; USRAH.
Usrah? Apa itu Usrah? Ada apa dengan Usrah?
Mungkin ramai yang hairan akan perkataan ini.Mungkin ada juga yang takut mendengarnya.
“Usrah? Benda apa tu? Bunyi macam bahasa Arab.. Takut je dengar..“
Jangan takut wahai teman. Usrah membawa maksud yang harmoni. Benar Usrah adalah perkataan Arab, tapi ingat, bahasa Arab bukankah bahasa Syurga?
Suka saya menceritakan kisah seorang sahabat saya dan pengalamannya mengenali Usrah, semoga bermanfaat:
Kawan saya bernama Siti. Dia gadis kampung dari keluarga yang sederhana. Ibu bapanya hanya peniaga kecil di pekan berhampiran rumah. Dia gadis biasa, yang banyak menghabiskan masa di rumah dan membantu ibu bapanya berniaga. Ibu bapanya sangat rajin bekerja, keluar dari Subuh hari dan pulang lewat malam untuk berniaga, namun sayang rezeki tidak menyebelahi mereka sekeluarga. Kesederhanaan juga mengajarnya untuk menerima sahaja segala yang disediakan ibu bapa tanpa banyak soal dan permintaan seperti lazimnya dilakukan anak-anak. Tanpa talian telefon, internet, majalah-majalah remaja malah talian televisyen dek televisyen yang terbakar disambar petir tidak dibaiki hampir 2-3 tahun, dia benar-benar dalam hidupnya sendiri tanpa banyak mengetahui akan hal luar. Kehidupan keluarga banyak mengajarnya erti kesungguhan dalam setiap hal. Cukuplah baginya belajar bersungguh-sungguh, dapatkan pekerjaan tetap dan kemudian membantu ibu bapanya sebagai impian terbesar. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencapai cita-cita yang lebih besar dari itu, mungkin tidak terjangkau dek fikirannya untuk keluar dari pekan kecil itu kerana keterbatasan dia dalam mengambil tahu akan hal luar.
Ketika mengenjak ke usia remaja, dia banyak bergaul dengan pemuda-pemuda kampungnya, yang rata-ratanya juga senasib dengan nasib keluarganya. Lewat petang mereka berkumpul di tepi padang kampung, mereka menghabiskan masa di situ sehingga azan maghrib berkumandang atau terlajak hingga lewat malam. Begitula rutin pemuda-pemudi kampung. Dia mengakui, semua rakan-rakannya tidak ada yang menjaga solat bahkan ada yang tidak pandai mengaji Al-Quran. Malah dia juga mengakui, kekerapan berjumpa pemuda-pemuda tersebut menyebabkan ada sebilangan kecil rakan perempuannya yang tidak segan silu bercumbu dan bermesra dihadapannya.
Makin hari Siti merasakan makin bosan dengan kerenah rakan-rakannya. Dia rasa kosong dan jemu. Dia mula menjauhkan diri dari mereka dan kembali hidup dengan buku-bukunya, membantu ibu menguruskan hal rumah dan adik-adik juga meringankan beban kerja dalam perniagaan ibu bapa. Itula Siti yang saya kenali sejak kecil.
Terus terang saya katakan, saya mengagumi Siti. Kehidupan benar-benar mengesani hidupnya. Usahanya dalam pelajaran nyata tidak dipandang ringan oleh Allah swt. Dia berjaya merangkul kejayaan sebagai pelajar cemerlang di sekolahnya. Sekolah kampung yang rata-rata pelajarnya dari kampung-kampung sekitar. Seperti pemuda-pemuda kampung di kampung Siti, begitu jugalah halnya pelajar –palajar kampung di sekolahnya. Mereka banyak menghabiskan masa melepak di tangga-tangga sekolah, ponteng kelas dengan menghisap rokok di tandas sekolah atau di perpustakaan atau di bangunan-bangunan lama disekitar sekolah, malah tidak kurang juga yang ditangkap tidur di tempat tersorok asrama di waktu persekolahan. Tidak hairanlah dengan usaha Siti, Siti merupakan pelajar pertama berjaya menggondol straight A’s di dalam peperiksaan di sekolahnya.
Bermulalah hidup Siti dengan rezeki Allah yang lebih banyak terhadapnya. Dia ditawarkan pengajian di luar negara. Nyata sekali tawaran ini mengejutkan Siti dan keluarganya. Siti mula merasa takut. Dia mula membayangkan perkara-perkara yang tidak enak. Dia tidak pernah keluar dari pekan tempatnya lahir jauh sekali ke negara asing yang tidak pernah dimimpikannya.
“Allah..”, dia berdoa. “Aku memohon padamu ya Allah, aku tidak mahu keluar, aku takut ya Allah. Peliharalah aku, tetapkan aku dalam hidayahMu.” Diulang-ulang permintaan ini dalam solat sunatnya. Tawaran ke India menghantuinya. Dia singgah ke satu-satunya cyber café di pekannya dan Siti gerun melihat upacara perasmian kolej yang ditawar kepadanya di laman web rasmi kolej di India yang tentunya dirasmikan mengikut cara tertentu orang Hindu. Meremang bulu romanya dan dia tekad untuk menolak tawaran ke India. Itulah Siti, si gadis kampung.
Keputusannya tidak menyebelahinya dek ibu bapanya yang benar-benar mengharapkan dia untuk ke luar negara. Desakan ibu bapa menggesanya menerima tawaran ke India. Dia tidak sanggup menghadapi rajukan ibu yang berpanjangan. Dia tidak sanggup terus-terusan mendengar keluhan ayah dek keputusannya.
Hati Siti dipenuhi harapan besar semoga Allah menjauhkan perkara yang tidak-tidak terhadap dirinya. Fikirannya dipenuhi isu murtad, takut benar Siti yang dia akan dimurtadkan di India. Allah.. lucu saya mendengarnya. Benarlah Siti si gadis kampung.
Udara India memang berbau pelik, buat Siti rasa janggal. Sesampainya Siti di India, dia terpegun dengan keadaan jalan raya India yang hiruk pikuk dek bunyi hon yang tidak putus-putus. Dia diberi makan biryani oleh senior yang ada sebaik sahaja ditempatkan di rumah pelajar. Seminggu bau biryani melekat di tangannya. Bunyi hon keretapi yang berpanjangan seringkali membuatnya terjaga lewat malam. Pengalaman tersebut sedikit sebanyak mula menghiburkannya. Dia mula rasa seronok mengenali tempat asing bernama India. Nyata sekali segala yang menghantui fikirannya adalah tidak benar belaka. Kakak-kakak senior baik-baik belaka. Meraka banyak membantu dalam urusannya di India. Kenalannya makin ramai dan dia mula rasa selesa.
Dia kagum dengan kakak-kakak yang ada. Mereka benar-benar mengambil berat. Mereka benar-benar bersungguh dalam membantu urusannya. Ke mana sahaja dia diusung oleh seorang kakak bernama Seha untuk membeli keperluan yang dia perlukan. Kak Seha ramah dan suka memeluknya. Dia jarang diperlakukan sedemikian. Namun dia rasa disayangi senior Seha. Kak Seha sering datang melawatnya di rumah dan memasakkannya masakan Malaysia yang dia mula rindui. Keterujaan dia menjamah makanan Malaysia, bubur pulut hitam disambut ceria oleh Kak seha. Kak Seha mengajaknya ke surau dan ini membuatkannya mula berjinak-jinak dengan surau. Tidak cukup dengan itu, Kak Seha menawarkan untuk mengajarnya membaca Al-Quran. Kelas mengaji diadakan hampir setiap hari. Ini membuatkan dia makin sayangkan Kak seha . Kak Seha pula sering menggodanya dengan masakan Malaysia yang sedap-sedap. Bukan Kak Seha sahaja, kawan-kawan Kak Seha pun semuanya baik-baik. Mereka menjaga solat, tidak seperti pemuda kampungnya. Merka berkasih-sayang dijalan Allah, juga jauh sekali untuk dibandingkan dengan kawan-kawan di kampung.
Setiap pagi Ahad, Kak Seha mengajak Siti ke sesi pengisian yang diadakan bersama senior-senior yang lain. Sungguh, inilah pertama kali Siti merasakan ketenangan berukhwah. Dia gembira mentadabbur Al-Quran bersama kenalan. Dia teruja dengan semangat kasih sayang dan keterbukaan masing-masing saling menegur dalam mahabbah, sehinggakan dia ternanti-nanti akan sesi pengisian pada minggu berikutnya.
Siti sering menghubungi Kak Seha dan mereka saling menziarahi. Mereka saling bertukar hidangan dan Siti banyak meminjam buku dari Kak Seha.
“Kak Seha, Siti seronoklah join pengisian tiap-tiap hari Ahad.”
“Iye? Seronokkan.. Hmm.. Apa kata Akak cadangkan Siti something? Sebenarnyakan Siti sesi pengisian tu adalah sesi umum.. Apa kata kalau Siti join usrah?“
“Usrah? Benda apa tu? Bunyi macam bahasa Arab.. takut je dengar.. “
Kak Seha tertawa lucu, “Apalah Siti ni, apa yang nak ditakutkan.. Bahasa Arabkan Bahasa Syurga? Usrah tu maksudnya keluarga.. Kan sedap maksudnya tu?”
“Ooo… Keluarga.. Tak sama ke sesi pengisian tu dengan usrah Kak Seha?” Siti berkira-kira.
“Usrah ni lebih kurang macam sesi pengisian jugak, tapi dalam kumpulan yang lagi kecil… Siti nak join? ”
Tawaran ini benar-benar mengubah hidup Siti. Siti bagaikan seorang yang diberi cahaya. Nyata sekali Allah menjauhkannya dari murtad, sebaliknya memberinya sinar untuk menjadi hambaNya yang sebenar. Siti mulai faham akan betapa besarnya nikmat Islam yang dianuti. Dia mulai sedar akan tuntutan syahadah yang dia lafazkan. Siti benar-benar sayangkan Islam, agamanya. Dia sedih acapkali teringatkan keadaan rakan-rakan di awal usianya, ruginya mereka sedangkan mereka putera-puteri Islam yang menjadi harapan agama. Siti menyimpan hasrat untuk mengajak rakan-rakannya yang lain agar mereka dapat merasakan nikmat Iman dan Islam yang dia rasakan kini. Umpama kanak-kanak yang kegirangan apabila diberi gula-gula yang enak kemudian teruja mengagihkan gula-gula tersebut kepada rakan-rakan mainannya supaya mereka sama-sama merasakan manis dan enaknya gula-gula tersebut. Begitulah Siti. Siti terfikir, alangkah indahnya sekiranya putera-puteri Islam semuanya benar-benar menghargai Islam sebagai agama dan mereka membuktikan kasih pada agama dengan benar-benar menghayatinya.
Rakan pembaca, kisah ini kisah benar yang nama wataknya diubah. Jelas, Usrah bukanlah sesuatu yang menakutkan. Usrah mengubah Siti dari seorang gadis kampung menjadi gadis yang beragenda. Usrah adalah kumpulan sebilangan ahli 5-12 orang. Usrah diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil naqib/naqibah. Mereka berkumpul hampir setiap minggu untuk saling mengingatkan dan meningkatkan diri dengan kualiti individu muslim yang sempurna meliputi :
1.Aqidah yang sejahtera
2.Ibadah yang shahih
3.Akhlak yang mantap
4.Luas pengetahuan
5.Sihat tubuh badan
6.Mampu berdikari
7.Melawan hawa nafsu
8.Sangat menjaga masa
9.Tersusun urusannya
10.Bermanfaat pada orang lain
Rakan pembaca, mungkin ini merupakan kali pertama kalian terdengar akan perkataan usrah dan tahu apakah itu yang dikatakan kumpulan usrah. InsyaAllah, jika ada yang menawarkan kalian dengan tawaran usrah, jangan berfikir 2 kali, sahutlah. InsyaAllah,kalian tidak akan rugi. Renungkan dan amalkan, InsyaAllah.
Siti Nur Syamimi binti Mohamad Asaad
Ketua Wanita ISMA India












Facebook Comments
0 Comments
You can be the first one to leave a comment.